© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG


Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di nusa tercinta ini.
            
Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti  gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.
            
Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang.  Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan individu penyayang.
            
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak.  Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama dan saling-membantu dalam masyarakat  akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak yang juga merupakan ahli masyarakat.
            
Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi , hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari ‘kasih sayang’ di luar rumah yang akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.
            
Masyarakat  penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.
            
Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan  peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkkan  akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.

0 comments :

Post a Comment